Tuesday, January 18, 2011

Kalam Pengerusi DPMZ


Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T atas segala nikmat yang tidak putus-putus dikurniakan kepada kita selaku hamba yang dha’if lagi hina. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W, penghulu sekalian nabi.
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig bukan sahaja persatuan yang ditubuhkan demi menjaga kebajikan seluruh mahasiswa di bumi Zagazig, bahkan DPMZ merupakan medium bagi seluruh ahli mempraktikkan segala tuntutan Islam dan ilmu yang telah dipelajari dengan baik dan berkesan.

Islam merupakan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah di atas muka bumi ini, sepertimana firmanNya dalam surah Al-Maidah, ayat ke-3 yang bermaksud : “pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu.”  Maka hendaklah kita sebagai seorang Muslim mengamalkan Islam itu secara menyeluruh, tidak sepertimana yang berlaku kepada sebahagian masyarakat kita pada hari ini yang hanya mengamalkan juzuk daripada juzuk-juzuk Islam.

Allah S.W.T juga berfirman dalam surah Ali Imran, ayat ke-104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang Berjaya”.

Bertepatan dengan ayat ini, maka Unit Hisbah merupakan sebuah unit yang berfungsi sebagai ‘penguatkuasa syariat’ yang bergerak di bumi Zagazig untuk menjaga maslahah dan keamanan kita bersama.

Jika kita lihat keadaan masyarakat di Malaysia pada hari ini, pasti kita akan berasa bimbang dengan segala masalah sosial yang sedang berlaku. Kes buang bayi yang kian meningkat, masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja, pembunuhan, ragut, rogol dan sebagainya. Perkara ini pastinya memberi kesedaran kepada kita akan betapa pentingnya kita pulang ke tanah air kelak sebagai seorang ‘rijal at-taghyir’ atau ‘agen perubah masyarakat’. Maka kesedaran ini hendaklah bermula daripada kita di sini, sebelum kita terus bertanya kepada mana-mana pihak.

Melihat situasi ini, DPMZ menyeru seluruh mahasiswa Islam agar kita dapat bersama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dengan baik. Manakala tugasan dalam mengatasi setiap masalah gejala sosial janganlah hanya kita serahkan kepada anggota Hisbah semata-mata. Sebaliknya tanggungjawab ini hendaklah kita jadikan tanggungjawab kita bersama. Semoga setiap usaha dan tindakan kita dalam melihat tuntutan Islam itu terlaksana akan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.

Sekian.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH


UBAH SEKARANG , SELAMATKAN MASA DEPAN

Muhamad Lokman Bin Sulaiman
Pengerusi DPMZ Sesi 2010/2011.

No comments:

Post a Comment