Tuesday, January 18, 2011

Maqalah Hisbah DPMZ (1)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang

ولا حول ولا قوة الا بلله العلى العظيم . سبحنك لا علم لنا إلا معلمتنا ، إنك أنت العليم الحكيم .

Tiada upaya dan kuasa melainkan dengan Allah yang Maha tinggi dan Maha Agung. Maha Suci Engkau, wahai Tuhan! Tiada ilmu bagi ku melainkan apa yang Engkau ajariku. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui Maha Bijaksana.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam, yang telah menjadikan dakwah kepada kebenaran, petunjuk kepada kebaikan. Sesungguhnya nasihat kepada kaum muslimin sebagai semulia-mulia amal bakti, setinggi-tinggi darjat dan sepenting-penting urusan dalam agama; itulah jalan para Nabi Allah yang diutuskan dan jalan para auliya’Nya yang soleh. Juga jalan para ulamakNya yang patuh, yang mendalami seluruh ilmu pengetahuan dengan keyakinan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, Nabi yang Amin (Amanah) dan kekasih yang setia dan teguh, penutup sekalian para Nabi, imam sekalian para muttaqin (yang takutkan Allah), pemimpin bagi orang-orang yang terdahulu dan terkemudian hingga ke hari kiamat

Rasulullah s.a.w bersabda :

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " إِذَا رَأَيْتَ اللَّهَ يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا عَلَى مَعَاصِيهِ ما يُحب فَإِنَّمَا هو اسْتِدْرَاجٌ "

Diriwayatkan oleh Uqbah bin ‘Amir r.a , daripada nabi s.a.w bersabda : “Apabila kamu melihat Allah s.w.t memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat ( derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah s.w.t”
                                                                                                Musnad Ahmad : 16673

        Sifat pemurah Allah s.w.t sesungguhnya tidak mengenal batas sempadan. Kurniaan Allah s.w.t kepada hamba-Nya di muka bumi ini tidak pernah bersandarkan pilih kasih. Sebaliknya setiap makhluk di muka bumi ini tidak pernah terputus daripada menerima kurniaan Allah s.w.t biarapun mereka daripada golongan yang kufur dan enggan mengesakan-Nya. Ini terbukti apabila orang kafir sekalipun turt menerima kurniaan dan rezeki daripada Allah s.w.t biarapun mereka tidak mengakui Allah s.w.t sebagai Tuhan yang sebenar-benarbya. Begitu juga orang Islam yang hanya beriman di bibir sedangkan hati mereka sering terdorong melakukan maksiat dan kekufuran, namun mereka juga tidak terputus-putus menerima kurniaan Allah s.w.t lantas membolehkan mereka meneruskan hidup ini dengan segala yang mencukupi.

         Bagi mereka yang beriman, kurnian Allah s.w.t kepadanya disambut dengan rasa syukur lantas diterjemahkan kesyukuran itu dengan melakukan lebih banyak amal ibadah dan pelbagai bentuk amalan kebaikan yang lain. Manakala mereka yang ingkar segala kurniaan itu akan menambahkan lagi karat kkufuran di hati, lantas segala kurniaan itu akan menjadi asbab yang menjauhkan lagi mereka dengan keimanan.

         Justeru kurniaan adalah ‘perangkap’ yang Allah s.w.t sediakan kpada hamba-hamba-Nya yang ingkar dan lalai. Apabila tiba masanya, Dia akan menarik balik kurniaan-Nya itu. Adakalanya pemberian itu akan ditarik balik secara mengejut dan adkalanya ia dilakukan secara perlahan dan beransur-ansur tanpa mereka sedari. Bahkan, mereka ini akan terus bergelumang dengan kemaksiatan, tanpa mahu kembali kepada jalan kebenaran lantaran hati mereka terhijab daripada hidayah.

        Justeru, kita sentiasa diseur supaya tidak leka dengan segala nikmat yang dikurniakan . Kita hendaklah sentiasa menyedari betapa segala kurniaan Allah s.w.t yang dinikmati sepanjang kembara hayat di dunia ini adalah pinjaman semata-mat. Pada bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh ditarik balik. Bagi orang yang bnar-benar beriman, apabila nikmat itu ditarik balik, merekaakan tetap redha dengan ketentuan Allah s.w.t kepada mereka.

         Namun, bagi orang yang lalai dan ingkar kebiasaannya mereka tidak dapat menerima hakikat ketentuan Allah s.w.t itu. Apabila didatangkan apa jua ujian kepada mereka, ramai yang tidak dapat menerima hakikat sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan-perbuatan mungkar yang lain seperti memberontak dengan kata-kata ataupun tidak laku yang terlanjur sehingga sanggup membunuh diri (waliyazubillah).

Andai mahu dihitung kurniaan Allah s.w.t ini, pasti tidak akan terkira. Sama ada kepada orang yang beriman mahupun mereka yang ingkar, kurniaan itu tidak bias dihitung. Tidak sesekali. Demikianlah banyaknya kurniaan Allah s.w.t yang wajib kita insafi dan sentiasa syukuri. Dia akan mengurniakan kepada manusia apa sahaja yang mani\usia perlukan. Namun ia bukan bermakna pemberian itu tidak akan dinilai. Sebaliknya segala nikmat kurniaan itu akan dinilai dan kelak akan diperhitungkan kembali tatkala tiba hari perhitungan terakhir di akhirat nanti. Jika segala kurniaan itu mampu meningkatkan lagi ketaqwaan dan keimanan penerimanya, pasti Allah s.w.t akan menambakan nikmat-Nya kepada mereka yang beriman. Sebaliknya, jika kurniaan itu menyebabkan mereka kufur kepada-Nya, pasti azab sekasaan yang pedih menanti mereka sama ada ketika mereka masih di dunia ataupun di akhirat kelak.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:øŒÎ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Surah Ibrahim, ayat : 7

                Bagi manusia yang beriman, setiap kali mereka memperoleh nikmat, sama ada berupa harta benda, pangkat ataupun kedudukan yang tinggi dalam masyarakat serta kemewahan-kemewahan lainnya, hati mereka akan sentiasa mengingat Allah s.w.t dan mensyukuri segala kurniaan itu. Denagan mengingati Allah s.w.t akan menimbulkan kebahagiaan dan menambahan lagi keinginan untuk mensyukuri nikmat tersebut. Hati akan sentiasa tenang dan hidup semakin sejahtera. Andai diri terjerat dengan maksiat, maka hanya dengan mengingati Allah s.w.t sahaja akan dapat membangkitkan kesedarannya untuk kembali mencintai-nya. Maksiat adalah dinding yang membentengi anatara diri kita dengan Allah s.w.t. Maksiat itu akan menjerumuskannya ke jurang kebinasaan. Celaka jua yang menanti hidup mereka sama ada semasa di dunia, apatah lagi di akhirat kelak.

                Di samping itu, jika manusia mengalami penderitaan dengan mengingati Allah s.w.t akan timbul keyakinan bahawa penderitaan yang dialami itu pada hakikatnya adalah cubaan dan ujian ke atsnya. Setiap cubaan yang di hadapi dengan penuh kesabaran, Allah s.w.t akan member pahala yang berlipat-ganda dan boleh meningkatkan darjat keimanannya.

Kisah Muawiyyah dan Bapa Saudaranya

                Suatu hari Muawiyyah menziarahi bapa saudaranya yang bernama Abdul Hakim Bin Aqabah yang sedang sakit. Ketika menemui bapa saudaranya itu, Muawiyyah melihat beliau sedang menagis. Muawiyyah bertanya kepadanya, “ Mengapa pak cik menangis? Apakah kerana kesakitan yang pak cikalami ataupun ada sebab lai yang merungsigkan fikiran pak cik? ”

                 Abdul Hakim menjawab, “ Aku menangis kerana mengenangkan pesanan baginda Rasulullah s.a.w kepadadaku tetapi aku tidak menunaikannya. Aku bimbang jika aku meninggal dunia kelak, aku akan menemui baginda dan baginda akan bertanya kepadaku mengapa aku mengingkari pesanan baginda itu. ”

Muawiyyah bertanya lagi, “ Apakah pesanan baginda kepada pakcik? ”

                Abdul Hakim menjawab, “ Aku mendengar baginda Rasulullah s.a.w  bersabda ; ‘ Sesungguh sudah cukup bagimu seorang pembantu dan sebuah kenderaan fisabilillah ’

                Apabila aku imbas kembali pesanan baginda itu, aku dapati aku tidak mengikut amanat baginda itu. Aku menyimpan harta yang banyak. Aku bimbang apabila aku meninggal dunia kelak, aku menemui baginda sebelum aku sempat menunaikan amanat baginda itu. ”


Menelusuri kisah ini dapat kita telaah betapa Rasulullah s.a.w tidak pernah menghalang umatnya mencari harta kekayaan. Pun begitu, kita sentiasa diingatkan tidak menjadi hamba kepada harta. Lantaran itu, kita tidak wajar lupa mengeluarkan sebahagian harta yang kita miliki untuk diserahka kepada golonga yang memerlukan. Jangan biarkan hari digaru rasa ragu ataupun teragak-agak untuk menunaikan amanah itu,lantaran zakat dan sedekah amat besar hikmahdan manfaatnya. Bukan sahaja kepada penerima, bahkan lebh besar lagi manfaatnya adalah kepada oran yang member. Pasti ada ganjarannya semasa hayat di duna dan lebih lagi ganjarannya di akhirat kelak.

        Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya supaya bersederhana dalam semua keadaan. Ini termasuk dalam hal pemilikan harta benda. Jika terlalu berlebihan-lebihan, ia mungkin akan mendorong seseorang menjadi sombong dan bermegah-megah dengan apa yang dimilikinya. Lebih malang lagi apabila timbul sifat sifat sayangkan harta yang dimiliki sehingga menyebabkan pemiliknya kedekut malah tidak sanggup untuk berkongsi dengan orang yang sangat memerlukannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:øŒÎ
Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.

Surah As-Shaf, ayat 10-12


Kisah Khalifah Umar dan Seorang Yahudi Tua

                Suatu hari ketika Khalifah Umar sedang membuat rondaan di sebuah pasar, beliau terlihat seorang tua yang uzur dan daif sedang berjalan terbongkok-bongkok menyusuri lorong di kaki lima pasar itu. Sesekali dia terhuyung-hayang dan berpaut pada tongkatnya. Orang tua itu mnghulurkan tangannya sambil meminta sedekah daripada orang yang lalu lalang di situ.

                Khalifah Umar yang terkenal dengan sifat kemanusiaan yang tinggi, mula terusik hatinya, “ Mengapa begini sekali keadaanmu? ”

                Lelaki tua itu menjawab, “ Hamba mengumpul wang untuk membayar jizyah, tuan. ”

                Apabila mendengar jawapan daripadanya, Khalifah Umar berkata, “ Mulai saat ini engkau mesti berhenti daripada meminta sedekah. ”

                Khalifah Umar menghampiri pengiringnya sambil brkata, “ Musa mudanya dihabiskan untuk memikul beban tanggungjawab. Hari tuanya kita biarkan dia sengsara. Mulai hari ini, potong namanya daripada senarai orang yang perlu membayar jizyah. Kemudian daftarkan dia dalam senarai orang tua yang layak menerima bantuan dari Baitulmal setiap bulan. ”


Betapa kisah ini boleh dijadikan pengajaran yang sangat berguna kepada mereka yang ingin berfikir. Kisah ini merupakan manifestasi keindahan agama Islam dalam meladani mereka yang berada di bawah naungan pemerintahan Islam, tanpa mengira keturunan dan kedudukan dalam masyarakat. Islam sangat menitikberatkan kesejahteraan umatnya tidak kira penganutnya itu daripada golongan dan keturunan mana sekalipun. Islam sangat adil kepada semua manusia walaupun orang itu bukan penganutnya. Asal saja seseorang itu berada  di bawah naungan pemerintahan yang bersandarkan Islam sebagai asasnya, maka ia pasti akan terbela. Islam tidak pernah menganiaya mereka mereka waima mereka bukan dari kalangan penganut agama Islam. Hak mereka tetap terpelihara. Keadilan Islam tentu akan membela mereka bagi memastikan mereka sentiasa dapat merasai nikmat kemakmuran pemerintaan Islam.

                Anologi pada zaman pemerintahan Khlifah Umar ini, amat jelas memancarkan bukti betapa Islam sentiasa membela mereka yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Walaupun orang tua itu berbangsa Yahudi, namun dia juga berhak untuk dibantu. Haknya sebagai rakyat yang bernaung di bawah paying pemerintahan Islam tidak pernah tergadai.

                Ini kerana, umat Islam sentiasa digalakkan supaya saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, keturunan ataupun warna kulit. Selain digalakkan supaya saling membantu sesama Islam, kita jiga digalakkan membantu mereka yang berlainan agama apabila mereka benar-benar memerlukan. Ini kerana, di bawah paying pemerintayhan Islam mereka mempunyai hak yang tersendiri yang waji ditunaikan oleh pemerintah. Islam tidak pernah mengajar pemerintahnya menganiayai orng lain, kendatipun dia buka orang Islam. Dengan perkataan Islam adalah pemelihara hak semua manusia, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam. Hatta, segala makhluk lain sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa sekalipun tetap mempunyai hak mereka. Haiwan dan tumbuhan sekalipun tetap mempunyai hak mereka, dan tidak sesekali boleh dizalimi. Itulah hakikat keadilan sebenar Islam yang sememangnya menjadi sebahagian daripada keindahan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh isi alam.

Istidraj, antara nikmat dan kemurkaan Allah swt

                Manusia derhaka dan hanyut dalam kemaksiatan sebenarnya golongan yang terperangkap dalam silang keliru pemikiran. Mereka sering merasakan nikmat yang dikurniakan kepada mereka adalah kerana Allah merelakan perbuatan derhaka dan maksiat yang dilakukan. Ini menjadikan mereka terus hanyut dalam penderhakaan dan maksiat tanpa rasa bersalah atau bimbang. Sedangkan hakikat sebenar bukanlah begitu. Andai kebahagian di dunia dan akhirat yang ingin digapai, segala usaha yang direncana haruslah berlandaskan kebenaran. Segala usaha haruslah mengikut jejak langkah yang diteladankan oleh Rasulullah s.a.w dan berpegang teguh pada ajaran Islam.

                Tetapi bagaimana pula dengan ada orang yang mendirikan solat lima waktu sehari semalam, bangun pada waktu tengah malam untuk bertahajud serta berpuasa sunat selain puasa ramadhan, tetapi hidup mereka biasa-biasa sahaja. Tanpa kekayaan mahupun kemewahan. Malah, ada yang hidupnya sangat susah. Bagaimana pula halnya orang yang seumur hidupnya tidak pernah solat, puasa dan terjarak daripada sebarang kebajikan amal soleh, tetapi memiliki segala kemuliaan dan kemewahan duniawi. Malah apa sahaja yang dihajati akan diperolehi tanpa perlu bersusah-payah. Apabila ditanya, apakah sama ada mereka tidak takut mati? Mereka akan menjawab, semua orang akan mati, kerana itu tidak perlu takut untuk mati. Kalau masuk neraka, mereka akan masuk beramai-ramai. Kerana itu mereka tidak kisah. Demikian sombong dan bongkaknya mereka.

                Hal sebegini sering memerangkap manusia yang lemah imannya. Minda tersesat di silang keliru lantaran melihat kenyataan sebegini, hingga terkadang mereka juga akan terpeson memilih jalan yang silap dalam melayari bahtera hidup. Mereka seakan-akan melihat betapa penderhakaan dan maksiat tidak akan menyekat anugerah daripada Allah SWT. Kepatuhan dan ketaatan  pula tridak pernah menjanjikan limpahan anugerah Allah SWT yang boleh memberikan kemewahan hidup. Sesungguhnya mereka ini adalah golongan yang terkeliru dan membuat pertimbangan dengan iman yang lemah. Lantas mereka terkadang turut terjerumus ke lembah kesombongan yang seterusnya dan menyesatkan mereka.

                Sedangkan Rasulullah SAW yang diberikan keistimewaan untuk bertemu dengan-Nya tidak pernah ada perasaan sombong. Nabi Sulaiman AS yang dianugerahkan kerajaan yang besar dan hebat sehinggakan segala makhlukl yang ada di muka bumi tunduk di bawah perintahnya juga tidak pernah sombong. Nabi Yusuf AS yang dianugerahkan rupa paras yang sangat cantik serta nabi Daud As yang memiliki suara yang merdu juga tidak pernah sombong dan berebangga dengan apa yang mereka miliki. Mereka tetap tunduk dan sujud menyembah Allah SWT, walaupun mereka diberikan berbagai-bagai keistimewaan oleh Allah SWT.

                Justeru amat malang bagi mereka yang dipagut kesombongan lantaran memiliki kekayaan dan kemuliaan dunia. Celakalah mereka yang tidak pernah ingin bersyukur dengan anugerah yang diperoleh, sedangkan segalanya itu adalah milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada mereka.Dan meraka ini sebenarnya adalah golongan yang telah dibutakan hati dengan segala kemewahan duniawi tanpa menyedari betapa segala kemewahan itu adalah umpan yang akan melontarkan mereka ke jurang kehancuran.

Manusia Istidraj, Manusia Tidak Tahu Bersyukur

Manusia istidraj adalah manusia yang lupa bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya. Walaupun diberikan begitu banyak nikmat oleh Allah SWT, namum mereka tetap melakukan maksiat kepadaNya. Mereka sedikitpun merasakan segala yang dimiliki itu datang daripada sifat kemurahan Allah SWT. Seblaiknya mereka merasakan bahawa segala yang dimiliki adalah semata-mata disebabkan oleh kebijaksana dan kegigihan usaha mereka. Lebih malang lagi ada sesetengahnya meresakan Allah SWT merestui apa yang msedang mereka lakukan. Buktinya, mereka masih lagi dikurniakan rezeki dan nikmat yang berganda-ganda banyaknya daripada Allah SWT

                Betapa terpesongnya mereka itu. Betapa jauhnya mereka daripada sifat seorang insan yang bergelar hamba kepada Allah. Ada juga di kalangan mereka memandang hina kepada orang yang bermal soleh. Apatah lagi jika golongan ahli ibdah ini hidupnya tidak sehebat atau semewah mereka. Malah kesombongan mereka ini terkadang mendorong mereka mengeluarkan patahan kata nista yang memperlekehkan ahlu ibadah. Umpamanya mereka akan berkata, “Dia itu siang dan malam beribadah di masjid, namun basikal pun tidak mampu dibeli, sedangkan aku yang setiap malam berseronok di kelab-kelab malam, hidup mewah. Aku tidak pernah beribadah, tetapi rezeki tetap datang mencurah-curah. Kalau dia itu seperti aku, tentu dia juga boleh hidup mewah.”

                Pepatah ada menyebutkan:

“Apabila Allah SWT mahu membinasakan semut, Dia akan terbangkan semua itru dengan dua sayapnya.”

Kitab Nasibul’Ibad

                Anai-anai, jika tidak bersayap, ia akan diam di bawah batu ataupun merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah SWT hendak membinasakannya: Dia berikan sayap kepadanya. Apabila sudah mempunyai sayap, anai-anai itu bertukar menjadi kekatu. Kekatu, apabila mendapat nikmat(sayap), ia akan cuba melawan api yang akhirnya akan membakar mereka.

                Demikianlah perumpaan yang boleh disononimkan dengan golongan sebegini. Golongan yang sombong dan ingkar ini tidak pernah menyedari betapa kemewahan dan nikmat yang dicicip itu adalah umpan Allah SWT untuk memusnahkan mereka.

                Buta hati dan minda mereka untuk memikirkan semua itu, lantas mereka untuk memikirkan semua itu,lantas mereka terus galak melawan Allah SWT dengan melakukan penderhakaan dan kemaksiatan yang dilarang. Firaun, adalah antara contoh terbaik yang mewakili golongan sebegini. Nikmat yang diterima tidak terkira banyaknya. Dia tidak pernah sakit, malahan bersin pun tidak pernah kerana Allah SWT memberikan kepadanya nikmat kesihatan yang baik. Firaun juga dianugerahkan umur yang panjang. Semua nikmat ini akhirnya menimbulkan rasa angkuh dalam dirinya. Dan puncak segala penderhakaannya ialah apabila dia sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan.

                Namun janji Allah tetap benar. Keangkuhan Firaun berakhir dengan kemusnahan yang telah ditimpakan Allah SWT ke atasnya. Nikmat yang selama ini dibanggakan akhirnya menjadi pemusnah kepada Firuan. Kebinasaan daripada Allah SWT akhirnya meranapkan Firaun bersama-sama segala nikmat yang dimiliki selama ini.

                Demikian juga dengan sosok bernama Nmarud. Seorang yang telah terpesong keimanannya disebabkan oleh kenikmatan dan kemewahan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Walupun Namrud dikurniakan nikmat yang melimpah-ruah, tetapi dia tidak pernah bersyukur. Bahkan segala kenikmatan dan kemewahan itu semakin menjarakkannya daripada jalan kebenaran. Semakin besar nikmat dan kemewahan yang dimiliki, semakin jauh daripada pintu kebenaran. Mata hatinya semakin buta dan keangkuhannya semakin mengunung. Segala nikmat kemewahn itu telah membusungkan lagi keanggkuhan dan kesombongan di hatinya.

                Hatta, usaha Nabi Ibrahim AS mengajaknya mentauhidkan Allah SWT tidak pernah dihiraukan. Bahkan, Namrud cuba membakar Nabi Ibrahim kerana baginda menentangnya. Itulah kemuncak keangkuhan Namrud. Namun, kuasa Allah SWT mengatasi segala kekuasaan lainnnya. Siapa sahaja yang menentang Allah SWT pasti akan menerima pembalasan yang pedih. Akhirnya Namrud juga dibinasakan bersama-sama dengan segala nikmat dan kemewahan yang selama ini sangat dibangga-banggakan. Namrud yang somgong kepada Allah SWT itu akhirnya menemui ajal hanya disebabkan oleh seekor nyamauk yang masuk ke dalam hidungnya.

                Selain itu, antara sosok derhaka yang terhebat dalam sejarah manusia juga pasti tidak terkecuali daripada nama Qarun. Tidak ada manusia pada hari ini yang memiliki harta sebanyak Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja perlu dibawa oleh 40 ekor unta. Seperti dua watak manusia istidraj yang disebutkan awal-awal tadi, Qarun juga sombong dengan harta yang dimilikinya. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya akibat terlalu takbur dan sombong kepada Allah SWT.

                Jika kita kaji dan fikir sedalam-dalamnya, pasti akan terjawab segala persoalan yang melanda fikiran pasti terungkai persoalan mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat berpeluang hidup senang dan mewah. Ternyata pemberian Allah SWT kepada mereka bukan lah sesuatu yang diredhaiNya. Ia bertujuang unutk menghancurkannya. Alangkah sia-sianya hidup jika tidak mendapat keredhaan Allah SWT.

Sungguhpun begitu, segala sosok derhaka ini berbeza dan tidak boleh kita samakan dengan semua orang kaya. Ini kerana, terdapat juga orang kaya yang taat dan patuh dengan penuh kesyukuran kepada yang Maha Esa. Dan mereka ini bukan lah daripada golongan istidraj. Orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan serta mengabdi diri kepada Allah SWT bukan daripada golongan istidraj.

Jesteru jangan pula sesekali kita menolak kekayaan. Sebaliknya, gunalah kekayaan itu untuk menigkatkan darjat keimanan dan mendekatkan lagi diri kita dengan pemilik hakiki kekayaan itu, yakni Allah SWT. Tanamkan di sanubari seteguh-teguhnya bahawa bukan kekayaan yang jadi matlamat sebaliknya rehda Allh SWT yang kita wajib dikejar, andai mahu selamat di dunia dan akhirat.

Bagaimanakah cara untuk menentukan nikmat yang kita terima diredhai Allah SWT? Jawapannya adalah apabila kita bersyukur dengan pemberianNya kepada kita. Dan segala pemberian itu juga digunakan kejal;an kebaikan. Dengan cara itu, nescaya nikmat dan kekayaan itu akan dinaungi keredhaan Allah SWT. Lantas apabila tujuan hidup kita adalah untuk mencari keredhaanNya, nescaya kita akan selamat di dunia dan akhirat.

- Tok Guru -
               
                                                                                                                                                                              
Disediakan oleh :
Unit Peneranagan HISBAH
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
sesi 2010/2011


No comments:

Post a Comment